Sunday, August 16, 2015

PLUS LAKSANA SISTEM KUTIPAN TOL ELEKTRONIK SEPENUHNYA DI LIMA PLAZA TOL DI UTARA TERMASUK JAMBATAN PULAU PINANG

Pelaksanaan Inisiatif PLUS untuk memudahkan transaksi akan dijalankan di lokasi tol berikut:

  • Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang,
  • Plaza Tol Jitra
  • Plaza Tol Bukit Kayu Hitam (di Lebuhraya Utara-Selatan) serta
  • Plaza Tol Lunas
  • Plaza Tol Kubang Semang (di Lebuhraya Butterworth-Kulim BKE),
PLUS akan melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik 100 peratus di kelima-lima plaza tol tersebut mulai 9 September 2015 yang akan datang.

Bermula pada tarikh tersebut, semua transaksi tol di kesemua plaza tol terbabit akan dikendalikan sepenuhnya secara elektronik sama ada menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohammad Fuad Khusairi berkata, “Langkah ini merupakan salah satu daripada pendekatan syarikat ini menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang lebih mudah.”

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang menggunakan kelima-lima plaza tol tersebut digesa supaya beralih kepada sistem pembayaran tol secara elektronik secepat mungkin.

“Bagi membantu orang ramai beralih kepada sistem elektronik dengan lebih mudah, orang ramai berpeluang mendapatkan kad PLUSMiles Touch ‘n Go (dengan nilai tambah RM5) dengan harga promosi RM5 (kad percuma) di ke semua plaza tol terbabit mulai sekarang sehingga 31 Disember yang akan datang,” jelas Fuad.

Selain daripada itu, orang ramai juga berpeluang mendapatkan SmartTAG dengan harga istimewa RM96 (termasuk 6% GST) berbanding harga biasa RM127.20 (termasuk 6% GST) sehingga 30 September ini di kelima-lima plaza tol tersebut (selagi stok masih ada).

Sementara itu, orang ramai yang membayar tol secara elektronik di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Jitra, Bukit Kayu Hitam, Lunas dan Kubang Semang boleh menikmati penjimatan bayaran tol bermula 1 September hingga 31 Disember yang akan datang.

“Penjimatan tersebut diperolehi melalui tawaran rebat tol sebanyak 20 peratus yang diberikan oleh PLUS untuk pengguna Kenderaan Kelas 1 yang membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG di kelima-lima plaza tol tersebut,” tambah Fuad. Namun demikian, pengguna Kenderaan Kelas 1 yang menikmati diskaun tol sedia ada di Jambatan Pulau Pinang tidak akan menerima rebat tol yang dinyatakan.


Sumber:


No comments:

Post a Comment